Image Banner

KP2026 TADIKA SWASTA NEGERI SEMBILAN BERJAYA DILAKSANAKAN DENGAN GEMILANG!

180 Peserta – 18 Fasilitator – 1 Misi: Meneroka KP2026, Membina Generasi Masa Depan

Seremban, Oktober 2025 — Program Penataran Kurikulum Prasekolah 2026 (KP2026) anjuran bersama Pertubuhan Tadika Swasta Negeri Sembilan (TUNTASN9) dan Persatuan Guru-Guru Tadika Negeri Sembilan (PGTSNS) telah berlangsung dengan penuh semangat, melibatkan seramai 180 peserta dan 18 fasilitator berpengalaman dari seluruh Negeri Sembilan. Bengkel di jalankan di Dewan Perpatih, PPD Rembau pada 1 dan 2 November 2025.

Bertemakan “Meneroka KP2026, Membina Generasi Masa Depan”, program ini bukan sekadar sesi penerangan kurikulum, tetapi satu pengalaman pembelajaran sebenar yang menyatukan guru dan pengusaha tadika dalam suasana bengkel yang interaktif, menyeronokkan dan bermakna. 

Sepanjang dua hari penataran, peserta bukan hanya mendengar taklimat tetapi terlibat secara aktif dalam aktiviti kumpulan, simulasi pembelajaran, dan perbincangan mendalam tentang pendekatan baharu KP2026. Setiap kumpulan dibimbing oleh fasilitator yang telah menjalani latihan bersama Jurulatih Utama (Master Trainer) iaitu Pn Sarimah idris dan Pn Tan Wei Ping, menjadikan pengalaman ini benar-benar dekat dengan realiti lapangan tadika.

Sepanjang dua hari program, para peserta menyertai pelbagai aktiviti interaktif, bengkel kumpulan, simulasi pengajaran dan perbincangan reflektif berkaitan empat komponen utama KP2026:
Pengenalan & Rasional Kurikulum
Struktur dan Kandungan Kurikulum
Pendekatan Pengajaran & Pentaksiran
Pelaksanaan dan Sokongan Guru

Pengerusi TUNTASN9, Encik Abdul Rahman bin Abdul Jalil, dalam ucapan beliau menzahirkan rasa bangga atas komitmen dan semangat semua peserta.

“Program ini membuktikan bahawa pendidik tadika swasta di Negeri Sembilan bukan sahaja bersedia menyahut perubahan, tetapi mampu menjadi peneraju pelaksana kurikulum baharu ". “Program ini bukan sekadar latihan. Ia adalah gerakan bersama untuk memartabatkan profesion guru tadika swasta di Negeri Sembilan, agar lebih bersedia melahirkan generasi kecil yang berilmu, beradab dan berjiwa merdeka.”

Antara maklum balas yang diterima daripada peserta turut mencerminkan kejayaan dan impak program ini.
Salah seorang peserta, Pn. Gan Soon Siang, menulis:

“I would like to record my deepest gratitude to En Abdul Rahman, Pn Sarimah and Ms Tan for organising this amazing kursus and sharing so much information. Honestly, this is by far the most informative and comprehensive 2-day kursus we have ever attended. I have attended kursus organised by many since 2006 — none could compare to this.”

Kejayaan KP2026 ini turut menjadi penanda aras baharu kepada keupayaan komuniti tadika swasta Negeri Sembilan dalam melaksanakan latihan berskala besar secara tersusun, sistematik dan berimpak tinggi.

Program berakhir dengan suasana penuh inspirasi apabila setiap peserta membawa pulang bukan sahaja ilmu, tetapi rasa bangga dan keyakinan untuk melaksanakan KP2026 di tadika masing-masing.

Tahniah kepada seluruh AJK Perlaksana, Jurulatih Utama, fasilitator dan peserta atas kejayaan bersama ini — bukti bahawa apabila guru dan pengusaha bersatu, pendidikan awal kanak-kanak akan terus melangkah ke hadapan dengan gemilang! 🌿✨

MORE

TEATER, BUDAYA & USAHAWAN SI CILIK MADANI – TADIKA SWASTA NEGERI SEMBILAN CIPTA SEJARAH UBS 2025 MENARIK LEBIH 1200 PENGUNJUNG

Port Dickson, 27 September 2025 – Pertubuhan Tadika Swasta Negeri Sembilan (TUNTASN9) dengan sukacitanya mengumumkan kejayaan penganjuran United By Sarong 2025 (UBS 2025), sebuah program julung-julung kali yang menghimpunkan tadika swasta di Negeri Sembilan dalam sambutan Bulan Kebangsaan & Hari Malaysia.

Bertemakan “United By Sarong – Si Cilik Madani”, program ini berjaya mengumpulkan lebih 350 kanak-kanak dari 14 buah tadika swasta, serta menarik kehadiran hampir 1,200 pengunjung di Dewan Auditorium, Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson

Acara bersejarah ini telah dirasmikan oleh En. Shaharudin bin Jumat, Penolong Pengarah, Unit Pendidikan Swasta, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan,

UBS 2025 menampilkan tiga pengisian utama:

  1. Silang Budaya Si Cilik Madani – persembahan silang budaya oleh anak-anak prasekolah, meraikan kepelbagaian bangsa dan tradisi Malaysia.

  2. Usahawan Si Cilik Madani – gerai jualan usahawan kecil oleh kanak-kanak yang mengetengahkan kreativiti dan semangat berniaga sejak usia muda.

  3. Teater Imersif Merentas Masa – sebuah produksi dramatik unik yang membawa penonton menelusuri sejarah perjuangan negara dengan sentuhan kanak-kanak prasekolah.

Pengerusi TUNTASN9, En. Abdul Rahman bin Abdul Jalil, dalam ucapannya berkata:

“Secara kebiasaannya, murid tadika akan menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di tadika masing-masing. Namun kali ini kami berhasrat untuk bergabung dan membawa keraian ini ke tahap yang berbeza untuk kanak-kanak. Masa depan sesebuah negara bermula dengan pendidikannya hari ini. Berpegang pada prinsip ini, kami akan lakukan yang terbaik, dan ini sebahagian daripada cara serta perjuangan kami untuk Malaysia yang tercinta.”

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan Ahli Jawatankuasa TUNTASN9, guru-guru, sukarelawan, ibu bapa serta 14 buah tadika swasta yang komited menjayakan program ini walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Puan Sarimah Idris, selaku penyelaras program menegaskan bahawa menganjurkan program sebesar ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia melibatkan kerjasama erat 14 tadika, guru-guru, ibu bapa serta anak-anak murid yang berlatih dengan penuh dedikasi. Kejayaan UBS 2025 membuktikan bahawa tadika swasta mampu melangkaui peranan tradisional sebagai pusat pendidikan awal kanak-kanak, sekaligus menjadi platform yang memartabatkan budaya, seni dan perpaduan.

Menurut salah seorang ibu bapa Encik Mohd Azri bin Ali, pendekatan teater imersif yang diketengahkan melalui UBS 2025 sangat memberi kesan kepada anak-anak:

“Saya amat tertarik dengan konsep imersif ini. Anak-anak bukan sekadar menonton, tetapi mereka merasai pengalaman – menjadi askar, menjadi raja, menjadi orang kampung, malah merasai sendiri makna kebebasan dan jati diri. Pada peringkat usia prasekolah, inilah asas penting untuk mereka memahami konsep seperti merdeka, bendera, dan lagu Negaraku. Sejarah sebenarnya bukan hanya fakta, tetapi tentang jiwa, perasaan dan patriotisme. Teater imersif ini adalah cara terbaik untuk mendidik hal itu, kerana ia membuatkan anak-anak benar-benar menghayati, bukan sekadar menghafal.”

Beliau menambah bahawa pengalaman sebegini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak, malah membuka ruang baharu dalam pendidikan sejarah yang lebih bermakna dan relevan dengan jiwa anak kecil.

TUNTASN9 juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada penyumbang utama iaitu Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, SME Bank, Bank Rakyat dan Gardenia atas sokongan yang memungkinkan penganjuran UBS 2025 berjalan lancar dan berimpak.

UBS 2025 kini menjadi bukti bahawa sarong bukan sekadar pakaian tradisional, tetapi simbol kebersamaan dan warisan bangsa melalui pendidikan yang wajar diraikan bersama generasi muda.

 

 

  

 

 

 

 

MORE

SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN 2025 – “UNITED BY SARONG” TADIKA SWASTA NEGERI SEMBILAN

Seremban, 2 September 2025 – Pertubuhan Tadika Swasta Negeri Sembilan (TUNTASN9) dengan sukacitanya mengumumkan penganjuran Sambutan Bulan Kebangsaan 2025 – “United By Sarong” yang akan diadakan pada Sabtu, 27 September 2025, bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Dewan Auditorium, Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.

Program yang dijangka menghimpunkan lebih 350 kanak-kanak tadika serta 1,000 pengunjung ini bertujuan meraikan semangat perpaduan, kebudayaan, dan identiti nasional melalui pelbagai pengisian kreatif yang dipersembahkan oleh anak-anak kecil.

Antara pengisian utama sambutan termasuk:

  • Usahawan Si Cilik Madani – Gerai usahawan dengan pelbagai jualan oleh si kecil.

  • Silang Budaya Si Cilik Madani – Persembahan silang budaya oleh kanak-kanak tadika.

  • Teater Imersif Merentas Masa – Pementasan teater istimewa melibatkan 14 tadika yang membawa penonton merentasi perjalanan sejarah dan nilai kebangsaan.

Bagi memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan persembahan hebat ini, tiket akan dijual secara atas talian tidak lama lagi dengan harga seperti berikut:

  • Persembahan Silang Budaya: RM15 seorang atau pakej RM55 untuk 4 tempat duduk.

  • Teater Imersif Merentas Masa: RM50, RM40, RM30 & RM20 mengikut kategori tempat duduk.

Menurut Pengerusi TUNTASN9, program ini bukan sekadar hiburan, malah platform untuk membina jati diri kanak-kanak, memperkenalkan semangat keusahawanan sejak kecil serta menghayati kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan Malaysia.

“Kami percaya melalui sambutan seperti ini, kanak-kanak bukan sahaja dididik untuk berbangga dengan identiti kebangsaan mereka, malah dapat memupuk nilai perpaduan dan rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya sejak usia awal,” ujar beliau.

Orang ramai, khususnya ibu bapa, dijemput hadir untuk bersama-sama menyokong dan meraikan Bulan Kebangsaan 2025 dengan penuh warna dan makna melalui penganjuran ini.


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Pertubuhan Tadika Swasta Negeri Sembilan (TUNTASN9)
📧 Emel: tuntasn9@gmail.com
📞 Telefon: 016 666 7691 (Pn Sherene)
🌐 Laman Web: www.tuntasn9.com.my

MORE

PROGRAM PROFESIONALISME PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI (PPKI) GURU TADIKA SWASTA NEGERI SEMBILAN 2025 MANTAPKAN KOMPETENSI PENDIDIK PRASEKOLAH

Seremban, 23 Ogos 2025 – Pertubuhan Tadika Swasta Negeri Sembilan (TUNTASN9) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan hari ini telah menutup tirai Program Profesionalisme Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Guru Tadika Swasta Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung selama tiga minggu berturut-turut bermula 9 Ogos hingga 23 Ogos 2025.

Program ini menghimpunkan lebih 100 orang guru tadika swasta dari seluruh Negeri Sembilan dengan matlamat meningkatkan profesionalisme keguruan, khususnya dalam aspek pengesanan awal masalah perkembangan kanak-kanak serta pendekatan intervensi dalam pendidikan khas.

Pengerusi TUNTASN9, En Abdul Rahman bin Abdul Jalil, berkata bahawa profesionalisme keguruan bukan hanya bergantung kepada kelayakan akademik, tetapi turut melibatkan pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai yang perlu sentiasa diperkukuh melalui latihan berterusan.

“TUNTASN9 sentiasa komited menyediakan Program Perkembangan Profesional Berterusan (CPD) yang memberi manfaat langsung kepada pendidik tadika swasta. Usaha ini selari dengan strategi TUNTASN9 untuk meningkatkan kemahiran guru, memastikan kualiti pendidikan, dan memperkukuh ekosistem prasekolah swasta yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi lima kunci strategi utama TUNTASN9 iaitu:

  1. Pembangunan Profesional & Latihan guru secara menyeluruh.

  2. Advokasi & kepimpinan industri prasekolah swasta.

  3. Pendigitalan dengan kerjasama strategik bersama AWFATECH Global Sdn. Bhd.

  4. Peningkatan piawaian dan kualiti prasekolah melalui penilaian berkala.

  5. Pertumbuhan dan sokongan keahlian TUNTASN9.

Beliau menambah bahawa melalui lima strategi ini, TUNTASN9 berperanan sebagai penggerak utama dalam melahirkan pendidik kompeten, menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam pembelajaran, serta menjamin kualiti pendidikan prasekolah swasta di Negeri Sembilan dan Malaysia secara keseluruhan.

Sementara itu, Yang Berusaha En Lim Sui Fong, Penolong Pengarah Unit Pendidikan Swasta, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, menekankan bahawa program ini membuktikan kesediaan guru tadika swasta untuk meningkatkan kompetensi mereka seiring dengan dasar pendidikan negara.

“Saya melihat kesungguhan para peserta yang hadir bukan sahaja untuk menambah ilmu, tetapi juga untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam menyokong pendidikan inklusif. Pihak jabatan amat menghargai inisiatif TUNTASN9 kerana ia melengkapi usaha kerajaan dalam memperkasa prasekolah swasta. Harapan saya, kursus sebegini akan menjadi model kerjasama strategik berterusan demi manfaat anak-anak kita,” jelas beliau.

Selain pihak penganjur dan jabatan, peserta kursus turut memberikan maklum balas positif. Cik Nor Alisa Zambri, salah seorang peserta, menyatakan bahawa beliau kini lebih yakin dalam membuat persiapan pengajaran selepas didedahkan kepada kit intervensi PROSPIM.

“Kit PROSPIM yang diperkenalkan dalam kursus ini membantu guru melaksanakan pengesanan awal melalui aktiviti bermain sambil belajar. Ia mengandungi panduan, lembaran kerja, serta alat pemantauan yang mudah digunakan untuk mengenal pasti tahap perkembangan murid. Saya rasa lebih yakin kerana kit ini memberikan langkah intervensi yang sistematik, sesuai digunakan di tadika, dan boleh disesuaikan mengikut keperluan kanak-kanak,” katanya.

Majlis penutup ini turut dihadiri oleh barisan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, ahli jawatankuasa TUNTASN9, wakil AWFATECH Global Sdn. Bhd., serta para pengusaha tadika swasta Negeri Sembilan.

MORE

KURSUS PROFESIONALISME PPKI PERKASA 100 GURU TADIKA SWASTA KE ARAH PENDIDIKAN INKLUSIF

Seremban, 16 Ogos 2025 – Pertubuhan Tadika Swasta Negeri Sembilan (TUNTASN9) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan melalui Unit Pendidikan Swasta & Sektor Pendidikan Khas serta Awfatech Global Sdn. Bhd. telah menganjurkan Kursus Profesionalisme PPKI yang menghimpunkan seramai 100 orang guru tadika swasta dari seluruh Negeri Sembilan.

Program yang berlangsung dalam tiga siri pada 9, 16 dan 23 Ogos 2025 di Auditorium SJK (T) Bandar Sri Sendayan/SK Bandar Sri Sendayan ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan amalan profesional pendidik tadika swasta dalam melaksanakan pendidikan inklusif, selaras dengan prinsip Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

PPKI merupakan inisiatif penting Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyediakan peluang pembelajaran kepada murid berkeperluan pendidikan khas bersama-sama murid arus perdana, dengan penyesuaian kurikulum dan sokongan khusus. Walaupun konsep ini memberi manfaat besar kepada perkembangan sosial dan akademik murid, ia juga hadir dengan cabaran seperti kekurangan pengetahuan guru dalam mengurus keperluan khas, penyediaan bahan bantu mengajar yang sesuai, serta pengurusan bilik darjah inklusif yang berkesan.

Kursus ini merangkumi tiga modul utama untuk tiga sesi:

  1. Pendedahan Kurikulum PPKI & Rancangan Pendidikan Individu (RPI)

  2. Pengenalan PPKI & Program Sokongan PPKI

  3. Pengesanan Perkembangan dan Intervensi Murid Prasekolah (ProSPIM) & Saringan PPKI

Barisan penceramah jemputan terdiri daripada Dr. Mahfuzah Binti ZainolDr. Zuraini Binti ZakariaPn. Jamilah Binti Kadir, dan En. Raimihisham Bin Mansor, yang berkongsi ilmu serta strategi praktikal dalam mengurus murid berkeperluan khas di prasekolah.

Menariknya pada sesi ke 2, diadakan sesi perkongsian bersama panelis Muhammad Haziq Iman Bin Hamri (seorang pelajar ASD), Ibu kepada Haziq, Puan Rosnah Binti Abdul Ghani dan guru pendidikan khas Haziq, Puan Fadzila Bt Mohd Sah. Sesi perkongsian ini dikendalikan oleh Puan Nurulhusna @Hakima Bt Abd Nasir yang juga merupakan penceramah pada sesi kedua iniDari sudut pandang seorang pelajar ASD, Ibu yang tabah mengurus dan membesarkan anak ASD dengan penuh kasih sayang dan seorang pendidik yang sabar dan berdedikasi. Sesi yang membuka mata dan hati

Pengerusi TUNTASN9, Abdul Rahman Bin Abd Jalil menegaskan bahawa kursus ini adalah sebahagian daripada Program Perkembangan Profesional Berterusan (CPD) untuk guru tadika swasta, dan merupakan usaha berterusan bagi memperkasa pendidikan awal kanak-kanak agar lebih inklusif, bersedia menangani cabaran, dan memenuhi keperluan semua murid.

Dengan penganjuran kursus ini, para guru diharap dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh untuk membina persekitaran pembelajaran yang mesra, menyokong, dan memenuhi hak setiap murid untuk mendapat pendidikan berkualiti.

 

MORE

Image News

Image Banner