SENAWANG, 16 Jun 2026 – Seramai 150 orang murid daripada lapan buah tadika swasta di Negeri Sembilan telah menyertai Program Simulasi Haji Kecilku Peringkat Negeri Sembilan 2026 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Tadika Swasta Negeri Sembilan (TUNTASN9) di Masjid Muhammad Al-Fateh, Senawang.
Program yang berlangsung bermula seawal jam 7.30 pagi itu bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung mengenai ibadah haji kepada kanak-kanak melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), di samping menerapkan nilai-nilai Islam, disiplin, kerjasama dan tanggungjawab sejak usia muda.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Puan Naterah Binti Saari, Pegawai Pendidikan Swasta, Pejabat Pendidikan Daerah Seremban, yang mewakili Pejabat Pendidikan Daerah Seremban. Dalam ucapannya, beliau memuji usaha TUNTASN9 serta pengusaha tadika swasta yang berganding bahu menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan kepada kanak-kanak.
Menurut beliau, program seperti ini bukan sahaja membantu kanak-kanak memahami ibadah haji sebagai Rukun Islam yang kelima, malah turut membina keyakinan diri, kemahiran sosial, disiplin dan semangat bekerjasama yang penting dalam perkembangan holistik mereka.
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran dan persediaan jemaah cilik sebelum para peserta mengikuti aktiviti membeli-belah sebagai pengenalan kepada perjalanan ibadah haji. Kemuncak program menyaksikan kanak-kanak menjalani simulasi lengkap yang merangkumi pemakaian ihram, wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah, melontar jamrah, tawaf dan saie, tahallul serta simulasi ibadah korban.
Pengerusi TUNTASN9, En. Abdul Rahman bin Abd. Jalil, berkata program ini merupakan salah satu usaha persatuan dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak melalui aktiviti pembelajaran yang autentik, interaktif dan berteraskan nilai.
“Melalui simulasi ini, anak-anak bukan sahaja belajar tentang rukun Islam, malah dapat merasai sendiri perjalanan ibadah haji dalam suasana yang sesuai dengan usia mereka. Pengalaman ini membantu membentuk sahsiah, adab, disiplin dan kecintaan kepada agama sejak kecil,” katanya.
Program ini turut menjadi platform memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara pengusaha tadika swasta di Negeri Sembilan dalam usaha menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dan bermakna. Semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh semua pihak membuktikan komitmen berterusan sektor tadika swasta dalam melahirkan generasi yang seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.
TUNTASN9 berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan menjadi inspirasi kepada lebih banyak institusi pendidikan awal kanak-kanak untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman yang memberi impak positif kepada perkembangan kanak-kanak.

